|
Tahun lalu, Malaysia menyambut kemerdekaannya yang ke 50. Bulan Ogos dipenuhi pelbagai jenis perarakan, pertunjukan kebudayaan, seni jalanan serta karnival bagi memperingati Kemerdekaan negara atau sambutan Hari Kebangsaan pada 31hb Ogos setiap tahun.
Tanggal 31hb Ogos 1957, negara mencatat sejarah apabila bendera Union Jack diturunkan dan digantikan dengan bendera Persekutuan Tanah Melayu di mana Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri yang pertama telah mengetuai rakyat jelata melaungkan ucapan keramat Merdeka! Merdeka! Merdeka!
Selama lebih tiga puluh tahun, Hari Kebangsaan disambut dengan perarakan yang melibatkan anggota tentera, badan korporat, kanak-kanak sekolah, para penari kebudayaan, ahli sukan, dan warga Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat. Malahan, sejak beberapa tahun yang lalu, sambutan Hari Kebangsaan telah dilaksanakan sepanjang bulan Ogos dengan pelbagai acara yang menarik yang sentiasa dinantikan oleh orang ramai di seluruh negara.
Sambutan Jubli Emas Kemerdekaan pada tahun 2007 telah terpahat di dalam sejarah negara. Tahun ini, sambutan tersebut diteruskan lagi! Sertailah orang ramai yang berkumpul di Dataran Merdeka pada malam sebelum Hari Kebangsaan untuk turut serta dalam kiraan detik Kemerdekaan yang bersejarah. Salah satu acara utama yang akan berlangsung tahun ini ialah Perarakan Citrawarna Malaysia atau ‘Colours and Flavours of Malaysia’ yang merupakan acara tahunan memaparkan kekayaan dan kepelbagaian warisan seni budaya negara.
Malaysia menjemput para pelawat untuk bersama-sama menikmati keseronokan sambutan hari bersejarah ini. Datang dan saksikanlah penduduk berbilang kaum di Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-51 di dalam suasana yang aman dan harmoni. Anda pasti kagum menyaksikannya.
Klik sini untuk melihat acara Tahun Melawat Malaysia
|