|
Muzium Kota Tinggi
Muzium ini yang dibina pada tahun 1997 menelusuri sejarah Kesultanan Johor. Tapak muzium ini dipilih oleh kerana kepentingan sejarahnya sebagai pusat Kesultanan Johor lama. Kawasan lembah Sungai Johor juga merupakan tempat bermulanya era baru Kesultanan Melayu setelah kejatuhan Melaka kepada pihak Portugis pada tahun 1511. Di sinilah juga tempat di mana penulis agung, Tun Sri Lanang menulis ‘Sejarah Melayu’, sebuah naskah masyhur yang merekodkan kegemilangan Melayu. Antara bahan-bahan pameran yang terdapat di Muzium ini termasuklah paparan sejarah gemilang Sungai Johor, bermula dari pemerintahan Sultan Allauddin Riayat Shah II sehingga Sultan Mahmud Shah II. Kisah Sultan yang terbunuh ketika dijunjung merujuk kepada Sultan Mahmud Shah II. Bagindalah yang kerap kali dirujuk dalam buku sejarah sebagai 'Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.' Kagumi juga lukisan-lukisan lama, diorama sejarah, peralatan senjata, serta berbagai lagi pameran lain yang menarik di muzium ini. |