Pelawat yang berkunjung ke Malaysia akan memasuki salah satu daripada enam lapangan terbang antarabangsa di Malaysia. Laluan masuk utama ke negara ini ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, Selangor. Negeri lain seperti Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan mempunyai khidmat 14 lapangan terbang domestik dan kecil.
Terletak kira-kira 50 km dari bandaraya Kuala Lumpur (KL), KLIA sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa yang mempunyai sistem pengkomputeran yang canggih dan adalah antara lapangan terbang paling moden di dunia. Ia mempunyai empat laluan lapangan khusus untuk menampung 25 juta penumpang setiap tahun, selain mempunyai prasarana untuk pertambahan 45 juta penumpang setiap tahun.
Terdapat juga sistem shuttle yang menyambungkan bangunan satelit (tempat penumpang keluar dari kapal terbang) ke terminal lapangan terbang (imigresen dan kastam). Malah, masa menanti sekitar dua minit dengan sistem bagasi automatik dan sistem pemeriksaan penumpang yang efisien memudahkan kunjungan pelawat ke negara ini.
Di dalam terminal lapangan terbang terdapat kemudahan restoran, rekreasi dan juga kedai bebas-cukai. Terdapat juga pusat kesihatan di Hotel Airside Transit yang dilengkapi kemudahan gym, bilik wap dan sauna. Hanya lima minit berjalan kaki dari lapangan terbang pula ialah hotel mewah bertaraf lima bintang, Pan Pacific Hotel.
Dari KLIA, KL hanya 28 minit menggunakan khidmat KLIA Ekspres, perkhidmatan tren berkelajuan cepat. Pelawat yang menggunakan kemudahan jalan raya boleh menggunakan lebuh raya ELITE atau lebuh raya Utara-Selatan. Lebuh raya ini menghubungkan bandar-bandar utama di pesisiran pantai barat Semenanjung Malaysia. Kereta sewa, bas, teksi, limosin dan perkhidmatan keretapi ke Kuala Lumpur dan bandar berdekatan turut terdapat di lapangan terbang.
MELALUI LAUT
Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur dihubungkan dengan mudah melalui pelabuhan laut. Salah satu pelabuhan di luar KL di pesisiran pantai barat Semenanjung ialah Pelabuhan Kelang, sebuah pelabuhan laut moden terbesar di Malaysia. Ia mempunyai kemudahan perkapalan dan kargo yang terbaik. Selain itu, terdapat juga pelabuhan laut utama seperti di Pulau Pinang dan Langkawi, di utara Semenanjung, Johor di Selatan dan Kuantan di Pantai Timur serta Kota Kinabalu di Sabah.
Westport di Pulau Indah Pelabuhan Kelang yang dikendalikan oleh North Port dan South Port, kini juga dikendalikan oleh bandar pelabuhan antarabangsa baru, Westport, yang terletak di Pulau Indah. Sebuah kawasan zon bebas perdagangan (FTZ), Pulau Indah kini dibangunkan sebagai kawasan perindustrian, perdagangan, penempatan, rekreasi dan hab pelancongan dengan pembinaan marina dan resort.
Menjangkau seluas 11 km, dengan kedalaman semulajadi 14- 18 meter, Westport direka sebagai sebuah pelabuhan serantau dengan teknologi terkini. Ia menempatkan sebuah terminal kontena, kawasan pergudangan yang luas dan pusat perdagangan. Star Cruise Terminal, terminal kapal layar terluas di rantau Asia-Pasifik juga terletak di sini. Star Cruise adalah sebuah kapal layar peranginan antarabangsa yang berhenti di Pulau Pinang, Pelabuhan Kelang, Melaka dan Langkawi.
FerryLink turut menjalankan perkhidmatan feri dari Changi Point, Singapura ke Tanjung Belungkor di pesisiran pantai selatan Semenanjung. Tanjung Belungkor ialah pintu masuk utama ke kawasan resort pantai di Desaru. Terdapat empat khidmat feri setiap hari pada hari biasa, dan terdapat lapan khidmat feri pada hujung minggu. Untuk tempahan, hubungi 02-545 3600/+65- 545 3600 (Changi Point) or +607-252 7408 (Bandar Penawar, Johor).
MELALUI JALAN RAYA DAN KERETAPI
Bukit Kayu Hitam adalah pintu masuk utama ke Malaysia bagi pelawat dari Thailand. Ia terletak 48 km ke utara Alor Star di Kedah. Lebuh raya Utara-Selatan menghubungkan Bukit Kayu Hitam ke Kuala Lumpur, sejauh 490 km. Berdekatan pos imigresen dan kastam di sini terdapat restoran, kedai-kedai, tempat letak kereta dan kompleks bebas cukai.
Padang Besar di utara tanahair di negeri Perlis, yang terletak di laluan keretapi utama dengan perkhidmatan setiap hari dari Bangkok, adalah salah satu laluan masuk ke Malaysia. Keretapi Tanah Melayu (KTM) turut mempunyai perkhidmatan ekspres antarabangsa dari Butterworth ke Haadyai di Thailand, serta perkhidmatan keretapi dari Padang Besar ke Singapura melalui Kuala Lumpur.
Perkhidmatan keretapi ekslusif, Eastern and Oriental Express, turut menawarkan laluan ke Bangkok dari Singapura melalui Kuala Lumpur. Ia meliputi kawasan di sekitar Semenanjung Malaysia, lebih 2,000 km, dan perjalanan dua hari ini turut berhenti di tempat-tempat menarik.
Bagi pelawat yang masuk dari Singapura, Johor Bahru adalah pintu masuk utama di selatan. Lebuh raya Utara-Selatan turut menghubungkan Johor Bahru dengan Kuala Lumpur, 220km di utara. Perkhidmatan keretapi dan jalan raya Tambak Johor turut menghubungkan Johor Bahru dengan Singapura. Pusat Imigresen dan Kastam turut disediakan di pintu masuk utama tambak ini. Sebuah jambatan kedua menghubungkan Tanjung Kupang, 30 km ke barat daya Johor Bahru ke Tuas di Singapura.