Secara amnya, Malaysia adalah sebuah negara yang sangat santai dan tidak cerewet. Walau bagaimanapun, penduduk Malaysia mempunyai budaya yang bersopan, oleh itu para pelancong patut cuba mengamati amalan-amalan tersebut sebaik mungkin. Antara amalan-amalan lazim yang terdapat di sini termasuk:
Walaupun berjabat tangan adalah lazim di kalangan lelaki dan perempuan, ada wanita Muslim yang hanya menganggukkan kepala dan tersenyum apabila bertemu dengan seorang lelaki. Salam tangan di sini menggunakan kedua-dua belah tangan, tanpa menggenggam tangan yang disambut. Orang yang menghulurkan salam lazimnya hanya mengelus tangan pelawat yang disambut, kemudian menarik tangannya ke dada, seolah-olah menunjukkan yang dia ‘memberi/menerima salam tersebut dari hati’. Pelancong yang bersalam tangan juga perlu berbuat sedemikian.
Adalah lebih baik jika anda telefon dahulu sebelum pergi melawat ke rumah orang
Tanggalkan kasut sebelum masuk ke dalam rumah di Malaysia.
Minuman lazimnya dihidangkan kepada pelawat yang berkunjung ke rumah. Adalah lebih sopan jika pelawat menerima minuman yang disajikan.
Pastikan anda menggunakan tangan kanan untuk makan, atau ketika memberi dan menerima barang.
Elakkan dari menggunakan jari telunjuk untuk menunding ke arah tempat, barang atau orang. Sebaliknya, tunding menggunakan ibu jari anda, dengan empat jari yang lain terlipat.
Tanggalkan kasut sebelum masuk ke tempat beribadat seperti masjid dan kuil. Ada sesetengah masjid yang menyediakan jubah serta tudung bagi pelawat wanita. Pelawat selalunya dibenarkan mengambil gambar di dalam kawasan masjid, tetapi jika boleh, minta kebenaran terlebih dahulu.
Ucapan selamat dengan minuman (toasting) bukanlah amalan lazim di Malaysia. Kebanyakan penduduk Muslim di sini tidak minum minuman beralkohol.